Thursday, November 9, 2017

Doa yang Ditunda


Terima kasih kerana menghormati saya, sebagai perempuan, sebagai Muslim.

Tidak pernah keluar dari kata-kata kamu yang menusuk kalbu. Melainkan yang baik dan menenangkan.

Kamu mengajar saya dalam diam. Semoga yang zahir dari peribadimu dapat saya contohi sampai ke akhir waktu.

Saya setuju untuk bertaaruf, kerana ibuku yang kamu dahului. Caramu itu sungguh mulia di mata kami semua.

Mana mungkin saya berkata tidak?

Ya, saya juga mengambil masa,
untuk seketika termangu di hadapan sejadah,
siapakah dia yang datangnya tiba-tiba?

'Dan didapatiNya kamu seperti kehilangan, lalu Dia memberikan petunjuk'

Dan Dia tunjukkan saya, kamu.

'And He found you lost, and guided you" 93 : 7

and, HE guided me to you.

Ya, dan DIA Yang Maha Mengasihi, cenderungkan hati ini untuk kamu.

Namun, sebelum hatiku kamu ambil, terlebih dahulu hati ibubapaku sudah kamu tawan.

Mana mungkin saya berkata tidak?

Saya tahu, syurga itu jauh, namun itulah cita-cita yang mulia,
untuk saya kongsi bersama kamu.

'Saya doakan bahagia, bersama, walaupun saya tahu, tahun-tahun yang mendatang pasti lebih mencabar'

Untuk doa yang tulus dan ikhlas dari jiwamu, saya doakan semoga Tuhan mendengarinya dan memperkenan untuk mengabulkannya.

Kamu adalah doa saya, 7 tahun lepas. Yang Allah perkenankan, tahun ini.

Kamu adalah doa saya yang Allah tunda untuk bertahun-tahun lamanya. 

Kamu adalah hikmah yang tidak saya nampak, walau hilang tidak berbayang.

Walau kita berkenalan di alam maya sahaja untuk 295 hari yang lepas, kamu tidak teragak untuk terus memilih saya sebagai pendampingmu.

Walau hari ini dalam sejarah, adalah hari pertama kita bertemu setelah beribu-ribu hari terpisah lamanya, kamu masih mudah tersenyum, seperti berjumpa dengan kawan lama yang hilang.

Walau saya masih kaku seperti batu yang membisu, seolah-olah ada cengkerik berbunyi..krik krik.. namun, kamu masih tenang memecahkan kesunyian untuk menghilangkan kedinginan itu.

'Berapa lama saya tunggu awak?'

Lama. Sungguh, lama. Siapa sahaja yang mampu menunggu sehingga 2903 hari walau tanpa bersua muka?

Kamu. 

Berbaki 27 hari lagi bergelar bujang. Semoga, Allah kasihkan kita selalu. Sentiasa, sampai ke hujung nyawa, sampai ke syurga, bersama-sama.

Dengan izinNya.

No comments: