Wednesday, May 24, 2017

Sedia

Kita hamba berdosa,
tetapi kita tetap mengharapkan keampunanNya.

Tanyalah hati,
di mana Allah di hati.
Jujurlah dengan diri.

Saya seringkali menekan hati dengan persoalan-persoalan yang saya sendiri sukar untuk menjawab.

Apakah saya mampu menjadi anak yang cukup solehah, cukup menenangkan hati ibu ayah sebagai qurratu a'yun?

Apakah saya bersedia untuk mendidik ummah?

Apakah saya bersedia untuk 'wakaf'kan diri kepada masyarakat dan negara?

Apakah saya bersedia untuk berkahwin, cukup solehah, taat dan setia tidak berbelah bagi kepada sang suami, tulus berkorban untuk anak-anak dan keluarga?

Apakah..dan apakah..

Tidak terjawab setiap soalan dengan mengenangkan usaha yang tidak mencukupi.

Maka, saya jawab setiap soalan dengan satu soalan lain.

Apakah saya cukup bersedia untuk mati..

Jika ya, mana bekalnya. Jika tidak, bagaimana hendak menghadap Allah nanti.

Bermulalah dari sekecil-kecil perkara untuk memperbaiki diri. Allah mencipta manusia dengan kebijaksanaan. Berusahalah sehabis baik untuk benar-benar menjadi khalifah yang terbaik, dan abid yang soleh. Allah akan bantu, insyaAllah Allah bantu.

Kebelakangan ini, beberapa kes kematian remaja disebut-sebut di seluruh Malaysia. Allahyarham Zulfarhan dan mendiang Nhaveen. Kematian mereka berdua benar-benar memberi kesan yang hebat kepada saya. Khususnya kematian Zulfarhan. Sampai tidak lena dibuatnya. Asyik terfikir, sampaikan saya bayangkan diri berada di tempat ibu bapanya.

Jika berlaku kepada keluarga saya, (atau anak saya?) insan tersayang, mahupun kawan-kawan, baik rapat ataupun tidak, apakah reaksi saya?

Jika tiada iman, boleh gila. Ujian yang terlalu berat buat yang masih hidup. 

Semoga Allah merahmati Allahyarham Zulfarhan atas ujian untuk dirinya di dunia, semoga syurga buatmu.

Dengan itu, berusahalah sehabis baik, untuk kebaikan ummah. Sehabis daya. Yang terbaik untuk anak bangsa. Guru pencorak generasi manusia, semoga dengan menjadi guru yang solehah, lahir anak murid yang baik agamanya, dan berakhlak mulia. Saya takut jika lahir dari kalangan anak murid saya yang bersifat zalim. Sungguh takut. Apa perasaan para guru dan pensyarah yang mengetahui bahawa anak muridnya pembunuh? (Saya merujuk kepada 5 siswa UPNM yang didakwa itu). 

Jadilah anak yang soleh solehah untuk ibu bapa. InsyaAllah, Allah bantu. Berusahalah untuk menjadi soleh solehah, agar dari dirimu, lahir keturunan yang soleh solehah juga, yang bukan sahaja menjadi penyejuk hati ibu bapa, malah juga permata negara. Solusinya tetap berbalik kepada diri sendiri, jadilah soleh solehah dahulu, barulah generasi kedua darimu akan mengikut jejakmu. 

Ustaz Pahrol berpesan, jangan tunggu kesempurnaan, kebaikan itu perlu dimulakan berkali-kali. Berusahalah menjadi soleh dan solehah walaupun kita sering membuat dosa. Bertaubatlah, dan terus suburkan hati dengan membuat kebaikan. Agar kebaikan lebih sebati dengan dirimu dan nafsu jahat itu lama-kelamaan akan terbunuh, kering, mati.

Semoga Allah terima amalan-amalan kita dalam bulan Ramadhan ini.

Untuk diriku, selamat berbakti untuk ummah :) 

Catatan Dendang Perantau,
23 Ramadhan 1438
Johor Darul Takzim

No comments: