Wednesday, February 22, 2017

Praktikum #3 - Telan Amarah

In the Name of Allah,The Most Merciful and Most Compassionate

Ada suatu ketika, saya mengajar bahasa Inggeris kepada murid Tahun 4, bernama Lala(bukan nama sebenar). Lala merupakan seorang murid autistik dan buta sepenuhnya. Dia akan memberontak apabila keinginannya tidak dipenuhi, meraung, dan merajuk lalu menyembunyikan dirinya di bawah meja.

Alhamdulillah, semasa saya mengajarnya, perangai Lala sudah banyak berubah, iaitu tidak lagi meraung dan menyembunyikan dirinya di bawah meja.

Namun, rajuknya masih menguji kesabaran tahap super saiyan.

Apabila mood Lala berubah, dia akan pasif, tidak mahu belajar dan memberontak.

Tidak mahu buat latihan Braille. (Dia sudah Darjah 4 namun masih guna Braille Gred 1, dia sepatutnya sudah menguasai Braille Gred 2)

Tidak mahu jawab soalan.

Saya masih bersabar.

Mula bermain-main dengan mesin Braille dan apa sahaja barang yang berdekatan dengannya.

Masih sabar.

Buat muka.

Sabar lagi.

Tutup telinga.

Ini sudah lebih.

Saya berasa kemarahan sudah sampai ke tahap muka merah dan mendidih di kepala. Sangat marah. Rajuknya bukan sekejap. Hampir sejam memujuk. 

Sudah hampir saya buatkan dia menangis dan tantrum dengan lebih hebat.

Pada saat saya sudah hampir sangat mahu marah, ada satu soalan yang keluar di hati saya ;

"Kalau saya marah, saya dapat apa?"

Kalau marah dan dia berubah langsung terus buat kerja dan tidak buat perangai, maka berbaloilah marah itu.

Tetapi jika saya marah, dan perkara itu makin memburukkan keadaan? Ah, sudah. Saya hanya akan dapat penuaan dan kedutan di muka.

Telan. Makanya saya telan amarah saya. Pahit benar rasanya. Beginilah rupanya rasa menelan pahit kehidupan.

Dan saya langsung mengubah perbualan yang tegang bersama Lala menjadi ceria. 

Situasi win-win. Akhirnya dia mahu membuat kerja dan saya gembira. Situasi berjaya ditangani dan meninggalkan saya satu refleksi buat diri. Antara marah dan sabar itu ada satu garis halus yang memisahkan keduanya. Kalau tidak dijentik perasaan itu, maka tenanglah ia. Namun jika dilandai ujian secara tiba-tiba, adakah marah atau sabar yang kita pilih. (Saya hampir saja memilih untuk marah, namun langsung tidak menguntungkan malah merugikan dan mengeruhkan suasana). Namun, ada beberapa faktor yang boleh membuatkan amarah saya reda.

1. Dia kanak-kanak, saya dewasa. Sepatutnya saya yang mengalah lebih dari dia. Walau ego saya tercabar namun, ego kanak-kanak masih belum terdidik, maka wajarlah saya yang rasional, bukan dia.
2. Dia ahli syurga, saya belum tentu lagi.

Jarang sekali saya benar-benar marah kepada murid, melainkan bebelan panjang (itu lain hehe). Marah ini selalu datang di saat saya sedang stres dan murid buat perangai. Pendekatan belajar untuk murid buta/rabun adalah sama dengan murid normal. Namun pendekatan bagi murid autistik dan masalah pembelajaran, beza. Sungguh berbeza. Memerlukan kesabaran yang teramat tinggi untuk mendidik mereka.

Saya pernah ceritakan kisah seorang lagi kanak-kanak autistik dalam Praktikum 1. Murid ini tidak dapat menguruskan diri dengan baik walaupun sudah darjah 3. Menjadilah saya tukang basuh dia pada hari tersebut. Menariknya murid ini, Afiq, dia selalu menghiburkan hati saya dan guru-guru lain. Saya ajarkannya sebuah lagu pendek mengikut lirik Rudolph the Red Nose Reindeer;

Saya kereta api,
saya boleh bawa orang,
saya ada gerabak,
gerabak saya panjang~~

Afiq telah menggubah lagu ini kepada lirik lain ;

Saya kereta api,
saya boleh bawa...(krik krik, dia berfikir seketika..)
saya boleh bawa cikguuuu! Cikgu nak ikut tak?
saya ada gerabak,
gerabak saya panjang~~

Penghibur hati. Pencuri hati. Benarlah, kanak-kanak memang ahli syurga. Mendamaikan tangkai jantung hati dengan keletah mereka. Haih.



Makanya, menjadilah saya seorang Syafawani yang masih belajar untuk telan amarah. InsyaAllah.

No comments: