Monday, January 23, 2017

Kembali kepada Fitrah

In the Name of Allah,The Most Merciful and Most Compassionate

(Cerita ini telah berlaku sekitar bulan 8/9 tahun 2016, berada dalam simpanan sudah sekian lamanya)

Masih ingatkah pada kisah Mei Mei? Kanak-kanak pertama yang saya jumpa di rumah kanak-kanak, tempat berbakti sebagai guru tuisyen? Baca - RKKTB # 1 dan Random

Mei Mei (bukan nama sebenar), sekarang sudah besar. Dahulunya kecil, manja dan suka menangis, kini sudah gadis dan matang.

Dahulunya meraung jika penselnya patah. Sayalah yang kena cari pensel baharu atau asahkan penselnya.

Dahulunya, amat sensitif dan suka merajuk. Jika tidak dipujuk, makanya, bergemalah kawasan dengan tangisnya yang dibuat-buat.

Dahulunya, selipar hilang. Dibelikan yang baharu. Warna merah jambu. Dan dia ingat selipar itu, walaupun setelah 3 tahun berlalu. Dia masih sebut padaku, "Inilah kakak(cikgu) yang belikan selipar untuk saya".

Dahulunya, datang kepada saya dengan kerja rumahnya, "Kakak.....(sambil senyum manis-manis), tolong buatkan" Ewah ewah. Memang tak la..haha.

Dahulunya, suka melentok kepada di bahu, suka tidur di riba. Suka mengendeng sampai rimas dibuatnya. Bukan seorang dua berperangai begitu. Tapi layankan saja.

Ada suatu ketika, azan Isyak berkumandang di rumah kanak-kanak itu. Dia memalingkan wajah pada rakan-rakan sebayanya yang masih belum ke surau, (yang semuanya baru darjah satu dan dua). Terus dijeritnya sekuat hati, "WOIII, pegilah solat! Aku tak pelah tak payah solat. Aku Cina."

Amboi, sentap. (Sebab saya ditugaskan untuk menjaga kanak-kanak non-Muslim, jadi tidaklah saya solat berjemaah bersama yang lain. Sendu jugalah bila dia kata begitu haha). Yang dimaksudkan dengan 'Cina' itu, adalah disebabkan dia merupakan non-Muslim. Makanya dia tidak perlu bersolat.

Mei Mei adalah kanak-kanak kesayangan saya. Setiap kali ke rumah kanak-kanak itu, saya pasti cari peluang untuk berbual dengan dia, buat kerja rumah dengan dia..

Setelah setahun lebih tidak menjejakkan kaki ke rumah kanak-kanak itu, saya telah menerima pengkhabaran. Mei mei sudah pun dipindahkan ke tempat lain. Maka tiadalah rezeki saya untuk melihat dia buat kali terakhir.

Hampir setahun lagi berlalu..

Atas izinNya, saya berjumpa dengan penjaga rumah kanak-kanak lain. Sapa bertukar dan entah bagaimana, penjaga ini memang mengenali Mei Mei. Ditunjukkan gambar Mei Mei melalui telefon bimbitnya.

Eh.

Mei Mei sudah berubah. Menitis air mata melihat gambarnya. Rindu dan terkedu.

Pengkhabaran yang indah ini, tidak mampu dilupakan sampai bila-bila.

Mei-Mei kembali kepada fitrahnya. :')

Mei Mei telah pun memeluk Islam, dan sudah pun melakukan rutin seorang Muslim dengan baik sekali. Baik dari segi ibadahnya, pakaiannya, tingkah lakunya dan serba serbi. Berkat tunjuk ajar dari penjaga di rumah itu. Memanglah, mula-mula dia hanya taqlid(mengikut) setiap gerak geri rutin seorang Muslim. Hanya setelah itu, Mei Mei belajar mengenai akidah Islamiyah melalui guru agama di sekolah.

(Mana-mana kanak-kanak tidak dipaksa untuk memeluk mana-mana agama melainkan dengan kerelaan hati sendiri)

Maka, yang memberi hidayah itu adalah Allah, kanak-kanak ini juga tidak terlepas dari menerima hidayah itu.

Buat masa sekarang, Mei Mei (namanya sudah ditukar, walaupun tidak wajib pun untuk ditukar), belum boleh mendaftar secara rasmi sebagai seorang Muslim, namun Mei Mei menjalankan kehidupannya sebagai seorang Muslim.

Baru darjah 5, kanak-kanak ini masih jauh perjalanan, tetapi sudah di membuat perubahan yang besar dalam kehidupannya.

Darjah 5, dan sangat matang.

Darjah 5, namun bijaksana.

Dia sememangnya berada dalam keadaan fitrah yang suci, dia kanak-kanak, dan dia menghayati kehidupan yang suci dengan memilih Islam sebagai jalan hidupnya. Saya pernah menjadi 'kakak'nya, makanya, saya amat gembira dengan perubahan dia. Perubahan yang sangat baik.

Nama mereka sama, tetapi tidak serupa. Silakan baca kisah kak sarah mei mei juga Perjalanan Seorang Mualaf dan Syahadatul Haq.

Kak Sarah Mei Mei, telah memeluk Islam pada 2013.
Mei Mei pula memeluk Islam pada 2015 (saya tahu pada 2016).

2013 dan 2016 adalah tahun manis buat saya. Manis masam pahit tetapi biarlah, yang manis sahaja diingati. :)

Semoga awak sentiasa berada di jalan yang benar Mei Mei.

Dan awak juga.

May Allah Bless.

2 comments:

Izz Hazwani said...

cerita kak, ringkas je. tapi cukup dah nak buat mata berair. masa dia suruh kawan kawan pergi surau, dia sendiri nampak memahami pada suruhan agama kita. sekarang, dia bukan saja suruh kawan2. tapi dia sendiri akan bawak diri dia untuk ke rumah Allah :')

the babbler said...

Izz : Semoga kita juga tergolong dari kalangan para hambaNya yang tidak terputus dari menerima hidayah :)