Sunday, January 4, 2015

Random : 2014

In the Name of Allah,The Most Merciful and Most Compassionate

Allah beri apa yang kita perlu, tidak semestinya apa yang hendak atau minta. Sebab Dia tahu, apa yang Dia beri adalah cukup untuk kita.

Memaknai Erti Cukup

'Dalam sukar, hitunglah kesyukuranmun, Dalam senang, awasi kealpaanmu, Setitis derita melanda, segunung kurniaanNya' - Lukisan Alam (Hijjaz)

Pengalaman adalah Guru

Ilmu bukan sekadar dihadam di kelas, bukan juga pada pointer atau kertas, tetapi aplikasi pada kehidupan dan perubahan pada tingkah laku ke arah kebaikan


***

Tahun Manis. Cukup manis. Boleh dikatakan, aku memang Sweet 21. Pahit manis kelat masin kehidupan aku rasakan, dan cukup untuk menjadikan aku lebih kental dan sado di hati. Dalam bersahabat, tipulah kalau tak diuji, aku juga tewas pada emosi. Hadirnya insan-insan luar biasa di sekelilingku menbisikkan kata-kata semangat - Aku mula sedar pada hakikat satu kalimah, "Semua di dunia ini pinjaman Tuhan, pegang pada ini, hati tak mungkin tersakiti". Berasa cukup dengan pinjaman, kita tak akan meminta lebih darinya. 

Uniknya, aku semacam luar biasa. Kalimah itu membuatkan aku semakin kebal. Oh, well. Aku belajar cara kawal marah. Kalau dulu aku berleter semacam mak nenek, banyak je mengomel-omel. Tetapi sekarang aku prefer diam ketika marah. Semakin marah semakin perlahan suaraku..juga semakin dingin. Dan mungkin semakin bisa. Ah, sebab itu lebih baik aku diam. Diam lebih baik. Belajar mengawal lidah. Mengurangkan dosa. Diam juga diam membunuh. 

Membuat keputusan bukan mudah. Pada usia 21, aku masih perlu memikirkan hati dan perasaan ibubapa. Tawaran ke Vietnam sebulan aku tolak, dek kerana ibu sedih jika aku beraya di perantauan. (Tapi besar hikmah aku tolak tawaran ini. Hikmahnya? Eh, rahsiala..haha). Tetapi..Allah ganti dengan kegembiraan apabila YSS tawarkan aku ke Laos pula. Ibarat yang dikendong ada, yang dikejar pun dapat. Haa ^_^ Dan mudahnya urusanku, apabila ayah beri keizinan untuk aku menjalankan misi sukarelawan ke Laos. Syukur, syukur melimpah. Pengajaran - hormati keputusan ibubapa dalam segala hal. Mereka juga ada hati dan perasaan. Dan aku berasa puas yang luar biasa bila aku patuh dan redha walau mungkin terjentik rasa sedih. Tetapi yakinlah. pada redha mereka, terletak redha Allah. Siapa tahu, redha itulah yang mengiring kita ke syurga? Allahu Akbar!

Seorang bijaksana pernah membisik ke jiwa- halus namun membisa terasa - Kita mungkin tiada jodoh di dunia, namun ajal ada, sudah tentu ada. Jika tiada cinta insani untukku di dunia, semoga amalku menjadi penentu agar ada cinta untukku di syurga. Bagiku, cinta hatiku untuk Allah, Junjungan Nabi Muhammad, dan ibu bapaku. Permata hati dunia akhiratku. 

Aku diberkati dengan limpahan kasih sayang..yang aku tahu tidak ramai yang dapat. Berbakti pada mereka adalah tiket untukku dipermudahkan ke syurga. Maka, penuhi tuntutan seorang anak soleh/ah.. Minta pada Allah, agar diberi kepanjangan umur agar diberi peluang menjaga mereka hingga ke akhir umur. Aku menyaksikan tokwanku yang diberi rahmat kepanjangan umur. Beliau sekarang 103 tahun. La hawla wala quwwata illa billah. 

Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?

Aku menyaksikan keadaan beliau, kadang-kadang sedar, boleh bersolat dan mengurus diri (mesti dibantu), namun kadang-kala nyanyuk dan tidak ubah seperti kanak-kanak. Pada ketika itulah, anak-anak dan cucu-cucu diuji agar melayani sang tokwan yang kudratnya lemah dengan penuh sabar, agar tidak memarahinya, (sedangkan berkata 'Ah' pun Allah larang!) kerana beliau dahulu pernah sabar melayani karenah anak-anak dan para cucu. Beliau dahulu sabar mendidik anak cucu agar patuh pada Allah. Dan setiap kali datang 'angin' beliau itu, aku ingatkan diriku dengan ayat dari Surah Yasin ini, agar dicekalkan hati - sebab aku yakin pada balasan Allah, berbuat baik akan dibalas baik.

Semoga diberi izzah untuk menghadapi ujian mendekatiNya pada tahun 2015 ini, diberi keberkatan umur, rahmat dalam segala hal dan sakinah serta harum mawaddah dalam berkasih sayang sesama insan - yang mencari keredhaanNya. Mahu kembali padaNya dengan qalbun salim- hati yang tenang dan sejahtera. Amin!

P/S : Al-fatihah buat saudara Nizar Md.Noor, kenalan dari SMKA Al-Mashoor, yang juga penuntut di Darul Quran dan UIA. May Allah bless you. Bless your soul. Rehatlah wahai pejuang.

No comments: