Sunday, June 15, 2014

Golongan Gelandangan : Siapa mereka?

In the Name of Allah,The Most Merciful and Most Compassionate

Semakin maju sesebuah negara, semakin banyak golongan yang tidak mampu melawan arus kemodenan dan jatuh ke lembah kemiskinan. Hidup dihimpit serba kekurangan, keluarga yang ramai menjadi bebanan, dan akhirnya, ramailah manusia terbuang di jalanan membentuk satu kelompok ; golongan gelandangan.

Di luar negara, mereka dikenali sebagai 'homeless'. Mungkin pada tanggapan sesetengah pihak, golongan ini hanya mengemis, meminta sedekah, berbaju compang-camping sambil membawa anak yang lena bukan?

Jawapannya, tidak. Sama sekali tidak. Melalui pengalaman saya yang pernah mengikuti program memberi makanan dan saguhati kepada homeless di sekitar Jalan Chow Kit, golongan ini juga bekerja ; ada yang sapu sampah, berniaga di pasar, mekanik, guard dan sebagainya. Cumanya mereka tidak mampu untuk membiayai kos rumah, makanya solusi yang tinggal hanyalah dengan tinggal di jalanan. Mereka tidak meminta-minta atau mengemis. Jauh sekali daripada gambaran dalam tv. Kebanyakan golongan ini berada di bandar-bandar pesat ; khasnya KL kerana kos sara hidup di sini adalah tinggi.

Persoalannya, adakah golongan ini perlu didekati, dijauhi atau dihapuskan sama sekali?

Islam mengajar kita supaya berhikmah. Maka pendekatan kedua dan ketiga tidak akan diambil kira. Penyelesaiannya ialah dengan mendekati golongan ini. Pelbagai bentuk program mula diwujudkan untuk mereka seperti pemberian makanan secara percuma, pakaian, saguhati, program ambang hari raya dan sebagainya. Pelbagai pihak Non-Government Organisation memberikan perhatian kepada mereka. Program Street Dakwah juga mendekati golongan ini. Perlu diingatkan bahawa, tidak semua orang punya basib yang sama dengan kita ; ada keluarga, ada rumah, dapat pendidikan sempurna, dapat duit poket, telefon dan komputer riba - mereka? Mungkin ada yang baru keluar penjara, ditinggalkan ibu sejak 5 tahun tepi jalan, berniaga dadah dengan keluarga? Siapa tahu? Jangan terlalu cepat menilai. Hidup ini ibarat roda, mereka mungkin di bawah sekarang, berkat pertolongan untuk mereka, dari segi semangat dan bantuan kewangan mahupun makanan, insyaallah mereka juga dapat mengubah nasib hidup mereka menjadi lebih baik.

Dari perspektif saya sebagai seorang bakal graduan guru, saya amat menyokong program sebegini. Program berbentuk kesukarelawanan. Dalam diri bakal guru, kami diterapkan dengan nilai-nilai pendidikan. Mendidik masyarakat; khususnya murid sekolah. Umumnya, sudah tentulah masyarakat. Golongan gelandangan juga sebahagian daripada masyarakat. Terima mereka. Jangan dicemuh walau tak suka tetapi selitkan peribadi akhlak mulia kita terhadap mereka.

Contoh situasi ; Jika nampak seorang pakcik tua keletihan yang duduk di tepi jalan, termangu termenung, dengan pakaian yang compang camping, apa tindakan anda? 

a) Terdetik dalam hati : "Ish, mana anak-anak dia?Buang dia tepi jalan ke? Ini mesti dia tak didik anak dia"
b) Abaikan
c) Dekati pakcik, "Pakcik, ambil RM5 ni, beli makanan. Semoga Tuhan berkati pakcik. Tuhan sentiasa ada untuk hambanya pakcik. Jangan putus asa. Carilah Allah, dekatilah Dia."

Agak-agak, berapa orang yang akan buat pilihan C ? Mungkin ada, mungkin tiada. Allahu. Tepuk dada, tanya iman. Sampai bila kita hendak jadi nafsi-nafsi (pentingkan diri) ? Kalaupun kita tak mampu bantu pakcik itu sebab kita pun ada duit cukup-cukup makan, hulurlah air mineral atau RM1 untuk dia. Ingat, Allah akan mencukupkan keperluan kita bila kita bantu orang lain sebab ada orang yang serba tak cukup daripada kita.

Mungkin akan timbul persoalan dimana ada pihak yang mempertikaikan bantuan yang dihulurkan kepada golongan ini. Macamana mereka hendak berdikari, atau sewa rumah sebab asyik mengharap pihak lain menyumbang?

Golongan ini bekerja. Sesetengah daripada mereka (bukan semua). Mereka ada hasil pendapatan walaupun tidak mencukupi. Menghulurkan sedikit bantuan berupa makanan sedikit sebanyak boleh meringankan beban mereka bukan? Saving yang mereka buat mungkin dapat mengurangkan beban kos makan minum, maka mungkin mereka juga dapat sewa rumah dan jalani kehidupan seperti biasa. Berikan mereka peluang untuk membina kehidupan. Kesempitan kehidupan lalu mungkin akan beri pengajaran kepada mereka. Memang ada bekas golongan profesional dalam kalangan mereka. Bekas model, bekas pegawai bank, bekas pelakon, bekas jurutera ; kerana najisnya dadah mereka dibuang keluarga. Tetapi percayalah, segelintir daripada mereka insaf selepas keluar masuk penjara, dan tinggalkan dadah dan kehidupan maksiat serta cuba untuk membina kehidupan. 

Saya tidak nafikan, terdapat penagih dadah, hubungan songsang dan sex worker dalam kalangan golongan ini. Cuma berhati-hatilah jika hendak memberi. Memberi itu tidak salah, jika berlebihan, takut disalah-gunakan. Tetapi, percayalah, memberi , walau sebesar zarah pun, akan tetap dibalas dengan kebaikan. Itu janji Allah. Kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. 

Jadi, melalui saluran apakah yang boleh anda ikuti untuk membantu golongan ini?

Saya mengikuti Program dibawah kelolaan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar dari institut saya. Biro Kebajikan dan Sosial telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan program berbentuk kebajikan masyarakat ini beberapa mingu lepas. 

Beramah mesra bersama golongan gelandangan. =)
Program kami mendapat liputan daripada akhbar Berita Harian. Bukanlah liputan yang memberi makna, namun impak yang dilihat pada liputan itu, harapnya dapat menyedarkan ramai masyaarakat khususnya remaja untuk turun padang dan terus membantu golongan yang memerlukan ini. Untuk orang awam, kalian boleh menyertai program sukarelawan daripada beberapa organisasi seperti :


Atau, usahakan program-program daripada Institusi Pengajian Tinggi anda. Para pelajar IPT, sedarlah kalian, kita punya kuasa dan aura yang berbeza dari kelompok lain dalam masyarakat. Kita ada kudrat yang kuat dan pelbagai idea bernas, maka gerakkanlah tulang empat kerat anda untuk sama-sama membantu masyarakat. Kalau kita sering mengeluh mengharap kebajikan terjaga dari kerajaan, sekarang nyatakan apa bakti anda pada negara? Jika tak mampu bantu wang berjuta, inilah masanya untuk anda buktikan yang anda juga mampu memberi sesuatu kepada negara ; iaitu berbakti kepada masyarakat khususnya golongan yang memerlukan. 

Setakat ini, saya gembira dapat mengikuti program Kesukarelawanan di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah dan Yayaysan Sukarelawan Siswa. Saya sendiri sedar potensi saya dan apa yang mampu saya lakukan kepada masyarakat. Anda bagaimana?

P/S : Saya dapat tawaran mengikuti Program Sukarelawan Green Summer ke Vietnam selama sebulan bermula 15 Julai-15 Ogos. Sungguh, peluang yang dinantikan datang ibarat bulan jatuh ke riba. apakan daya, Allah Maha Merancang =) Atas sebab urusan keluarga, saya tak dapat ikuti program ini. Saya berkira-kira, peluang untuk berbakti lebih luas, bukan sekadar pada masyarakat sendiri, tetapi juga pada bangsa lain dan seterusnya menjadi ikon sukarelawan dan contoh pada seluruh remaja -bahawa pelajar perempuan juga berdaya saing dan mampu berbakti- , namun, saya akur pada permintaan keluarga kerana risaukan keselamatan anak kesayangan mereka ini =D . Ada hikmah mungkin. Mungkin bukan sekarang. InsyaAllah, suatu hari nanti. Mungkin ke Gaza atau Syria? Amin!

Untuk pengetahuan kalian, Yayasan Sukarelawan Siswa membuat program Sukarelawan bagi pelajar IPTa/IPTS/IPG/Politeknik seluruh Malaysia setiap tahun bagi misi Kesukarelawan di dalam dan luar negara. Bagi pelajar IPT yang berminat untuk mengikuti program mereka, kalian perlu ditemuduga sebelum terpilih ke setiap misi. (Saya sudah dua kali ditemuduga di KPM,Putrajaya). Untuk maklumat lanjut, sila layari FB YSS atau Official FB YSS atau Portal Rasmi YSS.

Semoga Bermanfaat.

"Tangan yang di atas (memberi) lebih baik daripada tanga yang di bawah (menerima)".

May Allah Bless.

No comments: