Friday, July 20, 2012

9 A buat tok

In the Name of Allah,The Most Merciful and Most Compassionate

"Kerana rindu dan kasihku tidak pernah luntur, hakikat cinta itu bersandar pada Dia , Sang Pencipta.."

Salam buatmu yang menatap tulisan-tulisan ini. =) Moga kalian dalam lindungan Allah sebagaimana ana berada di dalam pelukan rahmat-Nya. 

Tengah malam ini, genap 4 tahun pemergian tok tersayang , Allahyarham Salmah binti Din. Masih segar dalam ingatan, janji ana kepada tok tatkala tok terlantar di Hospital Bukit Mertajam kerana strok. Ana dalam pakaian seragam pengawas sekolah, berbaju putih kain hitam, mahu pulang ke asrama SMKA Nibong Tebal. Perlahan-;ahan ana hampiri tok, dan ana kata..

" Tok, Mastura janji, nanti Mastura bawak sijil PMR 9A dekat tok tau..janji" =) 

Ana tersenyum melihat tok mengangguk-angguk. Gembira. Bersebelahan tok, mak ngah yang mendengar janji ana ini, berkata.. " Janji tu, wajib buat." . Ana sekadar gelak-gelak dan senyum , "InsyaAllah.." . Tiba-tiba , tubir mata tok mengalirkan air putih jernih..tok nangis? "Tok, janganla nangis..". Kemudian, mata ana pula bergenang..Terus tisu ana capai dan lap air mata tok. Tisu itu ana genggam. Ana lihat tok bersusah payah mengeluarkan sesuatu daripada poketnya..sekeping not merah wang. Tok tak boleh bercakap, tapi tok menunjuk-nunjuk duit itu ke arah ana. Ana segan nak menerima sebenarnya.. ==' tetapi mak ngah cakap, "Tok bagi tu..ambil la.." . Sengih-sengih,dan ana terima wang itu. Ana simpan duit yang tok bagi dan tisu air mata tok dalam kocek.

Seminggu berlalu, hari Sabtu. Ana tidak sabar-sabar hendak balik ke rumah. Mahu jumpa tok, ibu ayah, sepupu-sepupu dan berbuka puasa sama-sama memandangkan 31 Ogos jatuh pada hari Ahad , maka Isnin merupakan cuti peristiwa dan Isnin juga merupakan 1 Ramadhan . Harapan hancur tatkala ana mendengar bunyi mesin hayat sewaktu melihat sekujur tubuh ayah terbaring di atas katil putih. Menangis dan sedih maha hebat tetapi ibu tenang berkata, " Jangan nangis depan ayah." . Ayah kemalangan motor dan hampir melanggar kereta. Pihak yang salah ialah pihak ayah tetapi orang yang hampir dilanggar itu sangat baik hati. Sangat baik. Dia lah yang tolong telefon ambulan dan minta dicarikan waris. Dan dia adalah Cina. Ambulan yang datang adalah ambulan Hospital Bukit Mertajam, tetapi ayah tak mahu sama hospital dengan tok. Tak mahu tok tahu atau sanak saudara terlepas cakap berita kemalangan ayah.

Ana pun tinggal di hospital menjaga ayah. Bersyukur, ayah mendapat bilik personal. Senang untuk ana dan ibu tolong uruskan ayah. Berita ayah masuk ke hospital disampaikan kepada sanak saudara..semua tahu..kecuali tok. tetapi, ana yakin, naluri seorang mak tetap kuat dan ana tahu, tok tahu tentang kemalangan ayah. Dalam masa 2 hari, tok asyik tanya, " Men ( Jamil ) mana? " . Tetapi, semua sanak saudara cover tentang keberadaan ayah ketika itu. 

" Oh, dia pergi KL "
" Oh, dia ada kursus.."

Dua jawapan berbeza ini membuatkan tok syak sesuatu. Pihak keluarga ana risau juga kalau-kalau ada jawapan lain pula ==' sebabnya, kami tidak mahu tok risau. Sabtu dan Ahad ana dihabiskan berulang-alik ke Hospital Bagan. 

Isnin.1 Ramadhan. Sekitar jam 3 pagi. Ibu mendapat panggilan. Ayah mula tidak senang. Panggilan tengah-tengah pagi kenapa ni?? Ana terjaga tatkala mendengar perbualan ibu.

"Sabaq naa..mak dah tak dak.." Perlahan ibu memberitahu ayah. Ana jadi kaku. Tak percaya. Dua saat berlalu dan ana mendengar ayah menangis buat pertama kalinya. Dengan kondisi tulang yang patah, amat sukar untuk ayah batuk apatah lagi menangis. Dan ana masih beku di sofa. Sayangnya ayah pada emaknya terlalu tinggi, ana tahu itu. ayah sebagai anak lelaki sulung selalu mengutamakan tok dalam apa hal sekalipun. Namun, menerima berita kematian emak tersayang dalam keadaan yang tidak boleh duduk sekalipun amat amatlah memeritkan. 

Pagi itu, ana dan ibu bergegas ke rumah tok dan ana sempat memandikan tok bersama-sama emak saudara dan sepupu-sepupu yang lain. Sedih kehilangan tok. Tok sangat rapat dengan ana memandangkan ana membesar dengan tok dan rumah ana sangat dekat dengan rumah tok. Masih ana ingat, tok mengomel dekat ibu beberapa minggu sebelum tok kena strok..

"Mastura la ni berubah..banyak cakap sungguh" Ibu pun mengiakan tok.."Memang pun dia tu..blablabla.." tambah ibu. ==' Adey..mulut murai sungguh ana ni. Tetapi , tok tetap layan 'mulut murai' ana ni =)

Selepas dimandikan dan hendak dikafankan, sekali lagi kami diberitakan dengan perkara yang tidak terduga. Ayah hendak datang melawat tok buat kali terakhir. Hatta hendak bangun pun tidak boleh, kami semua hairan, bagaimanakah? Doktor memang tak bagi ayah pergi tetapi pagi itu selepas ana dan ibu pergi ke rumah tok, ayah dilawati oleh bosnya yang kebetulan lalu di kawasan hospital itu. ayah berkongsi kesedihan mengenai ketiadaan tok. Bos ayah mengeluarkan soalan di luar fikiran..

"You taknak lawat emak you ke? Buat kali terakhir ni. Jom saya cari orang."

Agak riuh rendah wad ayah ketika itu, gara-gara bosnya yang mengeluarkan kuasa lisannya kepada staf hospital. Dan, syukur, doktor berjaya dipujuk untuk membenarkan ayah melawat jenazah tok di kampung. Ayah dibawa menaiki ambulan dan hanya terlantar di atas stretcher. Kami semua menunggu ketibaan ayah sebelum tok dikafankan. Dari jauh, kelihatan ambulan merah oren datang. Kami semua bersedia.

Ayah dikeluarkan dari perut ambulan,dan dengan stretcher sekali bawa masuk rumah. Stretcher ayah direndahkan, dan ayah memandang wajah emak kesayangan di bahagian kanan ayah. Sekali lagi, ana melihat dan mendengar tangisan ayah. Adik ana yang tak tahu apa-apa pun tiba-tiba menangis, seolah-olah faham situasi ayah. Erat tangan ayah memegang tangan tok. Suasana sayu seketika dan orang ramai hanya memandang ayah dan tok. Selepas 10 minit, ayah dikejarkan ke hospital kembali. Dan proses pengurusan jenazah tok diteruskan. 

tok tak sempat pun melihat ana menduduki PMR. Ana kira, not merah yang tok berikan adalah hadiah tok buat ana kerana syukur, ana peroleh 9A. Terdahulu, ana terkilan kerana tokwan, Allahyarham Yahya bin Saad, bapa ayah , tidak sempat melihat ana menerima keputusan UPSR. Tetapi, tetap bersyukur, ana mampu pergi ke kubur mereka dengan keputusan yang baik dan yang penting, ana berusaha menjadi cucu yang baik dengan mengirimkan sedekah pahala buat mereka. 

Walau orang hendak kata, "UPSR je pun. PMR je pun.."
"Je pun??? Ana bukanlah orang yang pandai atau genius. Orang kata UPSR tu kacang je, tetapi ana tidak mendapat 5A dengan cara yang mudah. Sangat susah. Pagi sekolah, tengahari petang malam tuisyen. Darjah 2,3,4,5 dan 6 , hidup ana bergadang dengan tuisyen. Ibu hanya menekankan tuisyen ketika ana darjah 5 dan 6. Tetapi waktu kecil tak kenal erti 'Stres' atau 'Tension' , ana hanya buat yang terbaik dan Alhamdulillah, syukur dengan usaha yang berbayar. Sama juga dengan PMR. Susah. Ibu dan ayah tak expect pun ana boleh dapat Straight A's. Tetapi kerana semua 9 subjek itu ana suka, itu penambah rasa semangat untuk ana skor yang terbaik. 9 A untuk tok mah, itu pembakar semangat ana . Lain dengan SPM, ana belajar sesuatu yang bermakna dari peperiksaan ini. Susah dan perit melakukan sesuatu yang bukan bidang kita. Dan kali ini, ibu tidak memaksa maah sangat bersyukur dengan result ana. Bahkan terkejut Matematik Tambahan , Fizik dan Kimia ana boleh lulus kredit. ;) Bukan senang tau. Bersyukur ibu memahami. ^_^ Tahun seterusnya (tahun lepas) , ana pergi ke kubur tok dan tokwan , menyatakan result SPM ana tidaklah straight A's tetapi ana diterima menjadi bakal guru. Harapan ana, berita ini menggembirakan tok dan tok wan kerana mereka membesarkan ana. Mereka juga menerima saham  dunia yang ana kirimkan buat mereka di alam barzakh sana.
Selagi hayat dikandung badan, ana mahu menggembirakan ibu, ayah dan terus menyayangi orang-orang kesayangan ibu dan ayah. 

Hati kecil ana menyesal kerana tak sempat meminta maaf kepada tok buat kali terakhir tetapi ana tetap bersyukur ana punya ayah sebaik Ayah kerana bloodline kasih sayang sentiasa berterusan. Sejak peristiwa kematian tok dan kemalangan ayah, ana menjadi sangat-sangat-sangat rapat dengan ayah dan ibu. Susah senang bersama.

Kerana tengah malam ini genap 4 tahun, ana menulis untuk sentiasa ingat kisah ini. Kisah suka duka yang ana tak ingin lupa walau seketika. Pinjaman orang tersayang daripada Allah, itu cukup berharga buat ana yang juga hidup sementara di atas dunia. Namun, kehidupan sementara inilah yang mahu dimanfaatkan sepenuhnya setiap detik dan ketika dengan amal kepadanya sebagai bekal di akhirat kelak. Marilah,sama-sama kita manfaatkan Ramadhan kali ini, bukan senang Ramadhan hendak datang. Setiap tahun 10 hari lebih awal. Rindunya kita kepada Ramadhan adalah sama seperti rindunya Ramadhan kepada kita. Memngingatkan orang yang telah tiada, akan mengingatkan kita kepada mati dan memberi pesanan kepada diri,yang kita juga akan tiba masanya kelak berseorangan di alam kubur sana.

"Mati itu pasti. Kiamat itu pasti. Kelak kita kan di bangunkan di Padang Mahsyar dengan jasad dan roh kita. Dan yang tinggal ketika itu cumalah bekalan amalan, dan jika tiada amalan, tanggunglah beban dosa menggunung anda yang tiada siapa hendak tolong ketika itu." 

Peringatan buat anda dan saya. 

Ramadhan karim!  = Ramadhan Yang Mulia! 
Allahu Akram!      = Allah Lebih Mulia!

Allahu Robbi =)

No comments: